Sekitar Program CSR MG Prihatin di Pusat Hidayah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 06 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kemanisan dalam Islam sebagai sebuah Ad-Din menjadi pendorong kepada saudara baharu di Hidayah Centre Foundation Bandar Tun Razak di sini, terus istiqamah bagi mencari keredhaan Ilahi.

Mereka dengan rela mengabdikan diri sebagai hamba Allah setelah menjalani hidup dalam kegelapan sebelum ini.

Rata-rata golongan mualaf di pusat tersebut yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, mereka sangat bersyukur kerana mendapat syahadah sebelum mata terpejam.

Saudara baharu, Nurul Ain Lim Abdullah, 62, berkata, jiwanya tenang setelah memeluk Islam dan perasaan sedemikian tidak pernah dirasai sebelum itu.

Katanya, dia membuat keputusan yang betul apabila meninggalkan agama lamanya dan tidak pernah merasa kesal meskipun terpaksa dibuang keluarga.

Nurul Ain Lim

“Demi Allah yang maha agung hendak saya katakan bahawa inilah (agama Islam) yang saya cari.

“Walaupun saya diuji dengan penyakit kanser hidung, tapi saya anggap ia sebagai ujian yang Allah berikan sebagai penghapus dosa-dosa silam sebelum saya bergelar muslimah,” katanya ketika ditemui pada Program MG Prihatin di pusat berkenaan, baru-baru ini.

Menceritakan lanjut Nurul Ain berkata, Islam merupakan agama yang benar-benar mendidik dirinya menjadi seorang yang penyabar walaupun diuji dengan satu perkara paling berat iaitu sakit kanser yang dihidapinya itu.

Katanya, dia kini rela jika dijemput ilahi kerana diakhir hayatnya dia tidak lagi menjadi seorang yang berada dalam kesesatan.

Seorang lagi saudara baharu, Rohani Abdullah, 55, berkata, menjadi penganut agama Islam merupakan hadiah besar buat dirinya.

Katanya, tidak ada yang lebih mulia melainkan menjadi hamba Allah dan tidak ada agama lain sesuci Islam.

“Saya memang dah memeluk Islam sejak kecil dan tahu tentang agama ini.

Rohani Abdullah

“Cuma pada masa itu saya tidak didedahkan dengan Islam secara mendalam. Alhamdulillah, saya kini lebih yakin dan lebih terdidik dengan nur agama ini,” katanya yang berketurunan Orang Asli.

Sementara itu, seorang lagi saudara baharu yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Moi, 48, berkata, dia terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk menjadi seorang muslimah.

Ujarnya, terlalu banyak halangan yang ditempuh selepas keluarganya mendapat tahu dia mahu memeluk Islam.

Katanya, dia nekad dengan keputusannya itu kerana merasakan tidak lagi serasi dengan agama yang dianuti sebelum ini.

“Lepas saya peluk Islam dan amalkan solat lima waktu setiap hari, hati saya tenang sangat…dan disebabkan itu saya yakin, inilah agama sebenar saya perlu anuti,” katanya yang mengakui bahawa Islam itu indah.

Dalam pada itu, Moi sangat berharap agar Allah SWT dapat memakbulkan doa-doanya supaya seluruh ahli keluarganya terbuka hati untuk memeluk Islam.

Katanya, dia sangat rindukan kemesraan dan kebahagian bersama ibu bapa dan adik beradiknya yang lain.

Moi

“Siapa yang tak rindu kepada ibu bapa yang telah membesarkan dan adik beradik yang mesra sejak dari kecil.

“Saya selalu berdoa minta Allah bukakan hati mereka untuk bersama saya dalam Islam.

“Saya mahu lihat jika mereka semua menghembuskan nafas yang terakhir nanti biarlah dibibir mereka dapat menitipkan lafaz syahadah,” katanya dalam nada sebak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast