KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas ke atas kelab malam yang menganjurkan aktiviti menghina agama, kaum dan negara.
Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin menegaskan, apa sahaja premis yang dijadikan tempat menghina agama wajar dikenakan hukuman denda atau penjara mandatori selama tempoh atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 33 Menghina Agama Islam.
Ini katanya, termasuklah tindakan tegas dikenakan ke atas sebuah kelab komedi yang dikunjungi seorang wanita yang bertindak mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menanggalkan tudung dan pakaian.
“Walaupun penganjur kelab itu sudah membuat laporan di Balai Polis TTDI dan melarang wanita berkenaan memasuki premisnya, mereka perlu bertanggungjawab ke atas kejadian itu.
“Ini memastikan sebarang aktiviti atau persembahan daripada pengunjung pada masa akan datang tidak berunsur provokatif, rasis dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum lain.
“Jika mereka sengaja membiarkan perkara itu berlaku dan berulang lagi, PBT dan pihak berkuasa agama wajib mengambil tindakan tegas ke atas pemilik premis seperti menutupnya untuk selama-lama,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Baru-baru ini, heboh di media sosial dengan satu rakaman video berdurasi 54 saat di aplikasi TikTok yang menunjukkan seorang wanita berada di pentas komedi di sebuah kelab malam telah membuka tudung dan pakaiannya.
Perbuatannya itu mengundang kecaman dan kemarahan netizen kerana menghina kesucian Islam.
Wanita yang mengakui berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu telah ditahan polis dan direman tiga hari sehingga hari ini.
Menurut Nurhafizah, tindakan tegas PBT itu diharapkan memberi pengajaran kepada semua pusat hiburan agar selepas ini mempunyai tapisan lebih ketat untuk apa saja persembahan demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan kaum.
Beliau juga meminta wanita terbabit dikenakan tindakan sewajarnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan agensi agama berkaitan.
“Sekiranya dia ada masalah kesihatan mental, eloklah dibantu untuk melakukan rawatan segera supaya boleh dihantar ke tempat sepatutnya.
“Kepada anak muda dan beliawati, kita nasihatkan tidak terikut-ikut dengan tingkah laku serta perbuatan wanita terbabit semata-mata untuk mendapatkan perhatian.
“Carilah aktiviti lebih berfaedah yang menyihatkan mental dan fizikal serta bermanfaat untuk orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette