Air berwarna merah jambu dari Sungai Chandong.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) diminta memberikan penjelasan dan laporan telus mengenai pencemaran yang kerap berlaku di Sungai Chandong, Pulau Indah.

Transparency International Malaysia (TI-M) memandang serius isu pencemaran yang menyebabkan sungai bertukar menjadi merah jambu memandangkan kekurangan maklumat terbuka secara umum mengenai tindakan dan kawalan yang diambil terhadap pencemaran berulang di sungai tersebut.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata,  isu ini amat membimbangkan kerana ia memberi impak yang besar terhadap ekosistem dan mata pencarian penduduk tempatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada penduduk tempatan pencemaran tersebut telah berlarutan selama bertahun-tahun menyebabkan air sungai bertukar menjadi hitam, merah dan ungu, bergantung kepada jenis bahan kimia yang dilepaskan di Sungai Chandong.

”Bahan pencemar yang kemudiannya dibawa ke laut semasa air pasang menyebabkan ramai orang luar tidak menyedari keadaan ini. Sebelum ini, kawasan tersebut juga pernah mencetuskan kontroversi apabila kawasan itu dipenuhi sisa industri, botol plastik dan pakaian terbuang, tidak ubah seperti tapak pelupusan sampah,” dakwa beliau.

Terdapat dakwaan bahawa pengawasan dan pemeriksaan pencemaran yang dilakukan di kawasan itu tidak mencukupi.

Muhammad berkata, TI-M menyatakan sokongan terhadap penyiasatan dan serbuan yang dilakukan dan menyeru Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak terhadap pencemar sungai mengikut Seksyen 25 dan 29 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tetapi tindakan mesti diambil terhadap pesalah yang menyebabkan pencemaran ini di Selangor.

Malah JAS harus mendedahkan pesalah tersebut kepada umum.

Beliau menambah, TI-M tidak menentang sektor pembuatan namun terdapat banyak kilang sah dan haram)di Selangor yang acap kali mencemarkan sungai dan terlepas daripada sebarang hukuman.

”Justeru, TI-M mempersoalkan mengapa tiada tindakan tegas diambil terhadap operasi kilang sebegini yang mencemarkan sungai kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast