Gambar hiasan

KUANTAN – Polis menahan dua suspek berusia 22 tahun dan 40 tahun berhubung penemuan dua mayat di lokasi berasingan di Pahang.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kes pertama melibatkan penemuan mayat seorang lelaki warga asing di Mentakab pada jam 4.20 petang Ahad lalu.

Tambah beliau, kes kedua berkait dengan penemuan mayat seorang wanita bangsa India di Sungai Semantan, Kampung Raja, Temerloh pada jam 6.20 petang Isnin lalu.

“Pada 11 Julai 2022,  tangkapan telah dibuat ke atas dua orang suspek di lokasi yang berasingan di Temerloh antara jam 4 hingga 5 pagi.

“Suspek pertama merupakan lelaki berbangsa India berumur 22 tahun dan suspek kedua pula merupakan perempuan berbangsa India berumur 40 tahun.

“Kedua-dua suspek telah ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga 14 Julai 2022,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar berkata, kes disiasat di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Susulan penemuan mayat perempuan berkenaan, Azhar memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, ASP Nurhafezah Md Nor di talian 012-3740731, ASP Irmawathy Mohamad Yusof di talian 012-2822874 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-2716222. – MalaysiaGazette