Empat buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Segamat.

PEKAN – Tiga individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan insiden yang berlaku pada jam 11 pagi itu mendapati pemandu kereta Proton Wira yang menghala ke Kuantan dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tayar belakang sebelah kanan lori Hino dan hadapan van Nissan dengan kedua-duanya kenderaan itu menghala ke Segamat.

Tambah beliau, kereta itu kemudian melanggar bahagian hadapan sebelah kiri lori Isuzu yang juga menuju ke Segamat lalu terbabas dan masuk semula ke laluan asal menghala ke Kuantan.

“Ketiga-ketiga mangsa yang cedera iaitu pemandu dan penumpang kereta serta pemandu van dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu kereta itu tiada lesen memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette