Cucu Mat Kilau, Mohd Al-Hamadi Abu Bakar (tengah) bergambar bersama penonton Tayangan Filem Mat Kilau di IOI Citymall, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 12 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan merupakan cerita sejarah perjuangan kaum Melayu menentang penjajah pada masa dahulu.

Cucu kepada Mohamed Ibrahim atau Mat Kilau, Mohd Al-Hamadi Abu Bakar, 55, berkata,  filem yang diarahkan Syamsul Yusof itu sekaligus menafikan bahawa figura Mat Kilau adalah mitos dan dongengan.

“Bagi saya penerimaan filem menggunakan tokoh Mat Kilau ini ia mempunyai kekuatan tersendiri sehingga berjaya mendapat kutipan sebegitu.

“Jadi tahniah kepada penerbit dan pengarah, saya ucapkan tahniah kerana menggambarkan Mat Kilau yang sebenarnya dan tidaklah menggambarkan cerita dongeng,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis tayangan filem Persatuan Sukan, Kebajikan dan kebudayaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ismail Abd. Muttalib dan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ismail Abd. Muttalib (tengah) bersama Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kiri) dan Cucu Mat Kilau, Mohd Al-Hamadi Abu Bakar (dua kanan) hadir lengkap memakai pakaian Busana ketika Tayangan Filem Mat Kilau di IOI Citymall, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2022.

Dalam pada itu, Mohd Al-Hamadi berkata, langkah untuk memfilemkan tokoh perjuangan itu dapat membangkitkan semangat juang Melayu yang semakin pudar.

“Pada pandangan saya satu kerja buat yang baik dan ianya dapat membangkitkan jati diri Melayu Islam kita dan ia akan mengembalikan zaman kegemilangan orang Melayu di mana makin pudar,” ujarnya.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu di bawah terbitan Studio Kembara itu menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan Asari dan ramai lagi.

Selepas 21 hari ditayangkan di pawagam di seluruh negara, filem itu mengaut kutipan lebih RM71.27 juta. – MalaysiaGazette