Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri menasihati rakyat supaya tidak mengambil mudah prosedur pendaftaran perkahwinan terutamanya bagi yang berkahwin di luar negara.

Jelas Datuk Seri Hamzah Zainudin, sikap sambil lewa dalam urusan ini hanya akan mengundang masalah dan memerlukan masa yang lama khususnya untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan anak.

“Saya menyeru mereka yang berkahwin dengan warga asing, daftarkan perkahwinan mengikut lunas-lunas negara,” katanya dalam ucapan Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan.

Menurutnya, penganugerahan kewarganegaraan perlu melalui proses yang lama dan rumit kerana memerlukan proses perundangan dipatuhi.

“Taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dalam negara dan ianya bukan mudah,” katanya lagi.

Seramai 28 individu termasuk 19 orang berusia 12 tahun ke bawah diberi Surat Keputusan Kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Sejak Januari lalu, seramai 487 penerima menerima surat tersebut membabitkan 335 penerima Bumiputera, 139 orang bukan Bumiputera dan 13 lagi lain-lain.

Sementara itu, Hamzah turut mengingatkan penerima kewarganegaraan agar menjunjung Rukun Negara dan mematuhi undang-undang negara ini.

“Berpegang teguhlah kepada prinsip negara dan kedaulatan negara perlu dipertahankan,” tambahnya.-MalaysiaGazette