KOTA KINABALU – Pemain Sabah FC tidak seharusnya terlalu memikirkan soal menang atau kalah dalam perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini, sebaliknya perlu mengekalkan fokus dan disiplin tinggi sepanjang permainan.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, sudah tentu kemenangan akan memberikan keyakinan tinggi kepada skuad The Rhinos untuk menempuh perlawanan selepas itu, namun pasukan itu perlu menggandakan usaha untuk mengelak keciciran mata pada perlawanan itu.
Beliau berkata perlawanan ‘top of the table clash’ menemukan pasukan di kedudukan pertama dan kedua Liga Super itu dilihat sengit, justeru Sabah FC memerlukan pemain ke-12 iaitu penyokong setia untuk datang ke Stadium Likas dan memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.
Pada masa ini JDT berada di kedudukan pertama Liga Super dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan, manakala Sabah FC di tangga kedua dengan 22 mata selepas 10 perlawanan. – BERNAMA