KUALA LUMPUR -Penganjuran konsert penggubah dan komposer terkenal, Yuvan Shankar Raja iaitu Yuvan 25 – Live in Concert Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Julai ini pastinya amat dinanti-nantikan oleh beratus juta peminatnya di seluruh dunia.
Malah lebih mengujakan penganjur konsert, Malik Streams Corporation Sdn Bhd dimiliki oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer apabila ada peminat sanggup melancong ke negara ini semata-mata untuk menyaksikan konsert Yuvan 25.
Kata Abdul Malik kepada MalaysiaGazette, beliau cukup gembira apabila penganjuran konsert ini merancakan sektor ekonomi dan pelancongan.
“Saya baharu sahaja selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy. Beliau sungguh gembira apabila mendapat tahu beratus pelancong dari India akan menghadiri konsert Yuvan pada hari Sabtu dan Ahad ini.
“Malik Streams secara rasmi telah menjemput beliau untuk hadir menyaksikan Yuvan dan apabila B.N. Reddy mendapat tahu lebih 200 pelancong dari India menghadiri konsert ini, memang beliau sungguh teruja.
“Sebenarnya bukan sahaja pelancong dari India, sebenarnya kita juga ada pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Australia dan juga Singapura.
“Memang ramai pelancong dalam kalangan peminat tegar Yuvan sanggup berbelanja ribuan ringgit semata-mata untuk menyaksikan konsert julung tahun ke-25 Yuvan dalam industri muzik.
“Kita juga bertuah kerana Yuvan yang mempunyai jutaan peminat di setiap pelusuk dunia sebenarnya telah memilih Malaysia sebagai lokasi pertama bagi penganjuran konsert Yuvan 25 beliau sebelum siri jelajahnya ke negara-negara lain seperti AS, UK, Dubai, Jerman dan beberapa negara lain,” katanya sebentar tadi.
Untuk makluman, Yuvan pernah berkunjung ke Malaysia awal bulan lepas dalam satu sidang media khas berkata, masyarakat negara ini begitu dekat dengannya, hingga memberinya inspirasi untuk menghasilkan lagu serta muzik hebat sejak dulu lagi.
“Saya suka hasilkan lagu-lagu ketika sedang bersedirian, untuk pengetahuan anda juga, banyak juga lagu-lagu saya di hasilkan ketika saya berada di sini terutamanya di sekitar Bukit Bintang atas kawasan KLCC. Lokasi ini beri saya inspirasi,” dedah Yuvan atau nama barunya setelah memeluk Islam, Abdul Haliq baru-baru ini.
Menariknya, konsert jelajah dunia ini antara yang terpenting kerana beliau meraikan kariernya yang sudah menjangkau lebih 25 tahun dalam dunia muzik sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa.
Konsert dua hari Yuvan itu dijangka turut disertai beberapa artis dalam dan luar negara, pemuzik, penari dan lain-lain dengan nama besar
Sebenarnya konsert Yuvan 25 hanya dirancang untuk satu hari iaitu 16 Julai di Arena Axiata Bukit Jalil namun penjualan tiket atas talian itu terjual umpama goreng pisang apabila kesemua 9,200 tiket berjaya di jual dalam kurang dari dua jam.
Susulan sambutan luar biasa itu, penganjur bersama-sama Yuvan telah bersetuju untuk menambah sehari lagi siri konsert Yuvan 25 itu iaitu pada 17 Julai (Ahad) bertemakan Yuvan 25 – Rowdy Baby dan tiketnya juga sudah habis dijual.
Untuk makluman juga, Yuvan yang sudah sampai awal bersama-sama pasukannya bagi persediaan konsert sejak semalam lagi turut terkejut apabila lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam di banjiri para peminat di seluruh Malaysia. -MalaysiaGazette
Malik Streams bawa artis antarabangsa untuk popularkan Malaysia