Aksi membalas mesej menerusi aplikasi 'Whasapp" oleh pemandu bas ekspress sempat dirakam oleh pasukan penyamaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang

KUANTAN –  Akibat terlalu asyik dan leka membalas mesej menerusi aplikasi WhatsApps, seorang pemandu bas tidak menyedari aksinya dirakam oleh pihak berkuasa ketika membuat penyamaran.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pasukan penyamaran telah mengesan seorang pemandu bas ekspres melakukan kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan membaca dan membalas mesej menerusi aplikasi Whatsapp semasa memandu bas dengan sebelah tangan memegang stereng adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang boleh membahayakan nyawa penumpang, ujarnya.

“Penumpang lain tidak nampak tapi kami (JPJ) nampak.

“Tiga pasukan penyamaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang telah menyamar sebagai penumpang bas di laluan Kuantan-Temerloh, Muadzam Shah-Segamat dan Kuantan–Kemaman.

“Oleh kerana terlalu asyik bermain telefon bimbit, beliau tidak menyedari aksinya telah dirakam oleh pasukan penyamaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Justeru jelasnya, tindakan bagi kesalahan tersebut telah di ambil dibawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 , Kaedah- Kaedah Pengangkutan Jalan Di Bawah Kaedah 17A(1)RTR1959 Mengguna Telefon Bimbit Semasa Memandu.

Difahamkan sebanyak tiga pasukan penyamaran telah digerakkan setiap hari dan 24 buah bas telah dinaiki oleh pasukan itu sepanjang Ops Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA 2022) yang bermula dari 7 Julai hingga 13 Julai lalu.

Orang awam boleh boleh membuat aduan trafik dengan menyalurkan maklumat kepada [email protected] atau melalui aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan maklumat aduan. – MalaysiaGazette