Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan UMNO untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan parti itu menangguhkan pemilihan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak bertanggungjawab dalam membuat keputusan permohonan berkenaan.

“Buat masa ini saya difahamkan RoS tidak keluarkan surat lagi. Saya pun tidak tahu, Ros buat keputusan secara bebas,” katanya ketika sidang media pada majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan.

Jelasnya, beliau hanya akan terlibat dalam pembuatan keputusan terhadap rayuan sahaja.

“Itu permohonan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang kata kalau boleh percepat dalam 16 Julai, betul juga tidak boleh salahkan PM. Sebab dia mohon kalau boleh cepatkan.

“Saya sebagai Menteri Dalam Negeri, hanya perkara-perkara  rayuan itu boleh tanya saya sebab rayuan dibuat kepada saya. Ini permohonan asas jadi saya tidak tahu,” katanya.

Pada Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Me-15 (PRU-15).

Pindaan itu bagi memberi ruang kepada ahli parti fokus kepada gerak kerja pilihan raya.

Notis permohonan pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei lalu. -MalaysiaGazette