Rizal van Geyzel

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada malam ini mengesahkan penahanan  pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal van Geyzel di sekitar Lembah Klang.

Setiausaha Polis PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah mohd Saaduddin berkata, tangkapan itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini.

“Lelaki berusia 39 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan mengenai penularan dua klip video di sebuah kelab komedi, yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Pengasas kelab komedi Crackhouse sudah ditahan polis

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 15 Julai 2022 (Jumaat) bagi melengkapkan proses siasatan.

“Kertas siasatan polis kemudian akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya setelah siasatan dari segala sudut selesai dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan ke atas suspek dalam kes ini dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette