Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang meneruskan operasi pencarian tiga lagi mangsa hilang di perairan negeri ini selepas bot kayu yang dinaiki lima individu karam pada 12 Julai lalu.

Timbalan Pengarah APMM Pulau Pinang, Komander Maritim S.P Nak Rong berkata, pencarian dilakukan dalam kadar keluasan 42 batu nautika persegi bermula dari lokasi bot yang dinaiki lima warga Indonesia itu karam.

Nak Rong.

Jelasnya, terdahulu pihaknya menemui mangsa kedua bot karam tersebut di kawasan perairan Pulau Kendi kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Kita terima maklumat daripada nelayan tempatan berhubung penemuan mangsa kedua yang dikenali sebagai Zulham Effendi Marwan berusia 31 tahun di perairan tersebut.

“Susulan itu, bot perkasa digerakkan ke lokasi untuk membawa mangsa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban untuk bantuan awal serta siasatan lanjut.

“Mangsa didapati hanyut kira-kira 7.5 batu nautika daripada lokasi bot mereka karam dan mangsa ini juga merupakan mangsa kedua bot karam yang diselamatkan oleh APMM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nak Rong bersama pegawainya mendapatkan maklumat awal daripada mangsa.

Terdahulu, Nak Rong membawa pihak media meninjau kawasan operasi pencarian mangsa bot karam sejauh 42 batu nautika.

Tambah Nak Rong, berdasarkan keadaan arus laut dan angin, pihaknya percaya tiga mangsa berusia lingkungan 30 hingga 50 an yang hilang itu turut hanyut ke perairan Pulau Kendi.

“Kita masih lakukan operasi pencarian tiga lagi mangsa yang terdiri daripada tekong serta dua awak-awak.

“Berdasarkan soal siasat daripada mangsa kesemua mereka dalam perjalanan dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia menuju ke Satun, Thailand bagi mengambil bekalan bawang untuk dibawa ke negara mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Terapung empat hari di laut selepas bot kayu dinaiki karam

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan maklum balas daripada pihak kedutaan Indonesia,” jelas beliau. – MalaysiaGazette