Timbalan Pengarah APMM Pulau Pinang Nak Rong (kiri) melihat luka dilengan Zulham Effendi yang selamatkan selepas empat hari terapung di laut susulan bot kayu yang dinaiki mereka karam di Perairan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Terapung empat hari di lautan dengan hanya berpaut pada jaket keselamatan serta penutup bekas simpanan ais sebelum diselamatkan.

Hanya itu yang mampu dilakukan oleh warga Indonesia Zulham Effendi Marwan, 31, apabila bot kayu dinaiki mereka berlima karam di perairan Pulau Pinang pada 12 Julai lalu.

Zulham Effendi.

Menjelaskan kejadian,Zulham Effendi berkata, kesemua mereka dalam perjalanan dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia menuju ke Satun, Thailand bagi memgambil bawang serta buah-buahan.

Katanya, bagaimanapun dalam perjalanan itu, dia dan awak-awak menyedari bot kayu mereka bocor di bahagian enjin sebelum karam.

“Masing-masing kami memakai jaket keselamatan cuba menyelamatkan diri namun akibat arus dan ombak kesemua hanyut.

Nak Rong bersama pegawainya mendapatkan maklumat awal berkaitan mangsa.

“Saya syukur sangat diselamatkan oleh nelayan kalau tidak tak tahu apa nasib memandangkan sudah empat hari terapung dengan dengan berpaut pada penutup bekas penyimpanan ais.

“Tiada apa yang difikirkan sepanjang empat hari terapung itu selain berdoa pada Allah agar saya dan rakan-rakan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin di Batu Uban di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulham Effendi diselamatkan nelayan berhampiran Pulau Kendi di sini pada jam 8 pagi tadi sebelum dibawa ke jeti menggunakan bot Maritim Malaysia (APMM).

Dia ditemui dalam keadaan lemah selain lengan kedua-dua belah tangannya luka akibat bergesel dengan penutup bekas penyimpanan air yang digunakan untuk berpaut.

Keadaan lengan Zulham Effendi yang luka akibat geseran pada penutup bekas penyimpanan ais ketika berpaut selamat empat hari di laut.

Mengulas lanjut Zulham Effendi berkata, dia tidak tahu nasib tiga lagi rakannya memandangkan keadaan laut bergelora.

“Saya baru diberitahu seorang daripada kami telah diselamatkan selamat dan saya merupakan mangsa kedua.

“Saya harap tiga lagi rakan termasuk tekong akan ditemui oleh nelayan tempatan sini seperti mana mereka menyelamatkan saya,” ujarnya.

Mangsa ditemui nelayan sebelum dibawa ke jeti menggunakan bot APMM Pulau Pinang.

Semalam media tempatan melaporkan, empat lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki mereka berlima karam pada kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika barat Sungai Kongsi, Balik Pulau di sini.

Insiden yang menimpa mereka diketahui selepas salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Aswin, 43, ditemui dalam keadaan selamat pada jam 7 pagi semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.25 tengah hari daripada pemilik bot tempatan mendakwa menemui seorang lelaki yang terapung di lokasi berkenaan. – MalaysiaGazette