Christian Eriksen menandatangani kontrak tiga tahun bersama Man United. Gambar Kredit: Getty Images BBC.com.

LONDON – Bintang Brentford, Christian Eriksen berjaya mencari titik noktah untuk masa depannya apabila secara rasmi menyertai Manchester United hari ini.

The Red Devils menerusi satu kenyataan rasmi dalam laman webnya mengumumkan pembelian pemain antarabangsa Denmark.

“Manchester United dengan bangganya ingin mengesahkan bahawa Christian Eriksen telah menyertai kelab Old Trafford.

“Beliau (Eriksen) telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab untuk kekal sehingga Jun 2025,” kata kenyataan  di manutd.com.

Bintang perancang tengah yang licik itu telah melakukan 115 penampilan untuk pasukan Denmark dan menjaringkan 38 gol untuk negaranya di pentas antarabangsa.

Justeru Eriksen juga melakukan sebanyak 237 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris dan mendaftarkan 52 gol dan 71 bantuan gol.

Sebelum ini, Eriksen telah beraksi bersama Brentford selama enam bulan sejak Januari lalu.

Sebelum itu, dia telah bersama Kelab Serie A Inter Milan untuk jangka masa pendek selepas berehaat untuk tempoh lama akibat masalah jantung apabila rebah semasa perlawanan Piala Dunia Rusia 2018.

Bercakap kepada media rasmi Theatre of Dreams, Eriksen meluahkan keterujaannya menjadi sebahagian ahli skuad pasukan terbaik di England.

“Manchester United adalah kelab yang istimewa dan saya tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan baharu kami yang dikendalikan oleh pengurus baharunya, Erik Ten Hag.

“Saya pernah beraksi di Stadium Old Trafford menentang Red Devils yang mana atmosferanya sangat unik, tetapi beraksi dengan menyarung jersi sebagai pemain kelab Red Devils ini adalah sesuatu perasaan yang sangat istimewa dalam karier saya,” ujarnya.

Malah Eriksen juga menjelaskan pengalamannya beraksi di bawah bimbingan Erik di dalam liga Belanda.

“Saya sendiri pernah menyaksikan kejurulatihan pengurus baharu kelab Erik Ten Hag semasa mengendalikan Ajax selama empat tahun di Belanda.

“Dedikasi dalam menerapkan corak dan taktikal permainan yang berbeza serta berintensiti tinggi sangat luar biasa selain sesuai dengan keperluan DNA Theatre of Dreams yang diidamkan selama lebih lapan musim lalu.

“Saya tak sabar untuk melihat kebangkitan semula kelab ini ke arah era kegemilangan dan muncul sebagai pasukan yang digeruni di pentas Eropah dan dunia semula,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah bola sepak kelab berkenaan, John Murtough berkata, Eriksen salah seorang penyerang tengah terbaik di Eropah.

Katanya, tidak menghairankan walaupun bekas pemain Tottenham Hotspurs itu mempunyai banyak pilihan musim ini, keputusan akhir memilih Old Trafford menunjukkan dia bersama kelab yang tepat untuk masa depannya.

“Kami tak sabar untuk Eriksen beraksi dan menyumbang segala pengalaman dan taktik permainan yang dimilikinya atas padang untuk kemenangan pasukan musim 2022/23 bermula 8 Ogos ini,” katanya.-www.manutd.com

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast