KUALA LUMPUR – Penyerang, Fernando Forestieri muncul wira apabila jaringan pada minit akhir perlawanan menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Sabah pada aksi Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Likas malam ini.
Kemenangan kelapan dilakar skuad kendalian Benjamin Mora itu mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata meskipun masih kekurangan satu perlawanan berbanding Sabah yang berada di tempat kedua.
Skuad Harimau Selatan bermula dengan gerakan berbahaya dimulakan ke pintu gol Sabah menerusi Leandro Velasquez pada minit kesembilan dan ke-17 diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Sabah yang mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong yang turun ke stadium kembali memperkemaskan aksi dalam usaha untuk memberikan ancaman ke kubu lawan.
Penyokong tuuan rumah mula berpesta apabila hantaran lintang Jose Alberto Djalo Embalo gagal dikeluarkan Shahrul Mohd Saad bagi membolehkan Park Taesu yang tidak dikawal dalam kawasan penalti melakukan percubaan lalu menewaskan Farizal untuk menggamatkan Stadium Likas.
Kegembiraan kem Sabah itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tujuh minit selepas Fernando Forestieri tidak mensia-siakan peluang hasil ‘cutback’ daripada Arif Aiman Mohd Hanapi untuk meledakkan jaringan penyamaan.
Memasuki babak kedua, JDT dilihat menguasai sebahagian besar permainan dan turut mencipta beberapa peluang terbaik seperti sepakan percuma Leandro serta tandukan Fernando Rodriguez dari jarak dekat yang digagalkan Khairul Fahmi.
Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan keputusan seri, Forestieri muncul wira buat juara lapan kali Liga Super itu apabila sepakan percuma yang diambil pemain import dari Argentina itu gagal diselamatkan Khairul Fahmi untuk mengesahkan kemenangan berharga buat JDT. – MalaysiaGazette