Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

KAJANG – Seorang lelaki yang dituduh tertembak rakan sendiri hingga menyebabkan kematian di Sungai Gabai, Batu 18, Ulu Langat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Sali Hashim, 43, yang mengenakan t-shirt berkolar belang kelabu merah membuat pengakuan tersebut dari kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding yang bermula jam 10.30 pagi.

Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Hakim Majistret Syahrul Sazly Md Sain, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir amunisi tanpa lesen yang sah di Lot 2861, Batu 23, Kg Sungai Lui, Hulu Langat pada 8 Julai Jumaat lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam Roland Engan.

Selain pertuduhan itu, Sali turut berdepan dua pertuduhan berbeza yang dibacakan di hadapan Hakim Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan gopoh sehingga menyebabkan ke atas kematian rakannya, Mohd Izzwan Ahmad Shakri, 32.

Kejadian didakwa berlaku di Hutan Simpan Sungai Gabai, Batu 18, Ulu Langat pada jam lebih kurang 4.30 pagi 6 Julai lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai tempoh hampir dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, Sali didakwa memiliki selaras senapang patah jenis Stevens No. 26 tanpa permit yang sah di lokasi sama pada pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, atau denda tidak melebih RM10,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pada 6 Julai lalu media melaporkan, seorang lelaki, 32, maut selepas terkena tembakan peluru penabur dari senapang rakannya di Hulu Langat.

Ketika kejadian mangsa bersama tiga rakannya dikatakan masuk ke kawasan hutan untuk ke kawasan kebun durian yang berada di atas lereng bukit yang jaraknya lebih kurang dua kilometer perjalanan.

Siasatan mendapati semasa dalam perjalanan salah seorang rakan yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit dan senapang yang dipegang terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan.

Salah seorang rakan mereka yang berada kira-kira tiga meter di belakang terkena tembakan tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian setelah pasukan ambulans tiba di lokasi kejadian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast