PH janji
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MPT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi membayangkan akan timbul usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi Dewan Rakyat, Isnin depan.

Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mempunyai sebab musabab untuk menggerakkan usul tersebut atas beberapa faktor.

“Apakah akan ada usul undi percaya dari PN? Bersatu dan Pas masih dalam kerajaan. Mereka boleh buat macam di (kerajaan negeri) Perak.

“Muhyiddin ada sebab. Dia tidak puas hati kerana janji jawatan TPM untuk PPBM (Bersatu) tidak dilayan. Jawatan Zuraida juga tidak kosong. PPBM rasa terhina.

“PPBM ada peluang tekan butang. Mengharap jawatan TPM dan kekosongan tempat Zuraida umpama menunggu buah yang tidak gugur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Muhyiddin mendakwa memang wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan kuota anggota Kabinet.

Menurutnya, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Ismail Sabri dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan tersebut dan berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan TPM antara PN dengan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Puad yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, Muhyiddin tidak akan berupaya berbuat demikian.

Ini kerana Bersatu bakal menghadapi risiko besar sekiranya membuat langkah perubahan politik seperti yang berlaku pada ‘Langkah Sheraton’ pada Mac 2020.

“Risiko besar jika PPBM lakukan Sheraton Move 2.0. kerana PPBM ketandusan ‘wow factor’, kata Puad.

Sebelum ini, Muhyiddin bertegas mahukan kerusi yang disandang oleh bekas ahlinya, Datuk Zuraida Kamaruddin Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi diberikan kepada Bersatu kerana ia adalah kuota parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast