Dr. Maszlee Malik

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta ahli dan pimpinan PKR memperjuangkan semula Program Sarapan Percuma.

Beliau berkata, sebelum ini beliau memperjuangkan isu berkenaan secara berseorangan dalam Dewan Rakyat memandangkan ia tidak mendapat sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disertainya.

“Tapi kali ini, saya bersama PKR. Jadi saya minta akar umbi, pimpinan parti, mari kita perjuangkan Program Sarapan Percuma seperti mana kita perjuangkan pada 2019 yang lalu tapi telah dihentikan pada waktu itu dan tidak diteruskan kerajaan pada waktu ini.

“Kita hidupkan semula. Kak Wan (Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tahu perkara ini kerana dalam Kabinet, hanya Kak Wan sokong saya, lain tak sokong.

“Jadi kita perjuangkan semula. Parti kita parti hentikan derita rakyat. Parti kita menjulang keadilan, parti kita parti mengangkat pendidikan,” katanya ketika membahaskan Usul Pendidikan pada Kongres Keadilan Ke-16, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlee berkata, usaha untuk mereformasikan pendidikan tidak boleh hanya diserahkan kepada Menteri Pendidikan kerana kuasanya terhad, sebaliknya ia memerlukan komitmen daripada Perdana Menteri.

“Ia harus bermula dengan Perdana Menteri itu sendiri. Kita perlu Perdana Menteri yang cakna pendidikan, perlu yang ada visi pendidikan. Kita tak mahu Perdana Menteri terkongkong, terperangkap dengan zaman silam dinosaur dia.

“Kita perlukan Perdana Menteri yang faham derita rakyat, yang hidup bersama rakyat.

“Kalau begitu, jika inginkan Perdana Menteri yang boleh sokong revolusi pendidikan sebenar, faham jiwa rakyat dan membawa negara ke hadapan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette