KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Datuk Wan Saiful Wan Jan apabila mengeluarkan kenyatan mendakwa ada pihak cuba menjadikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai isu politik.
Beliau mempersoalkan sikap Wan Saiful yang dilihat tidak selari dengan tindakannya termasuk ketika menulis Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang turut ‘mempolitikkan’ PTPTN.
“(Wan Saiful) merangkap bekas Penulis Manifesto PH. Nak tanya, waktu tulis Manifesto PH dulu tak terfikir ke kesan mempolitikkan PTPTN?
“Lagi satu, macam mana posting sebut sumbangan PTPTN tapi bungkusan guna nama Perikatan Nasional…boleh ke begitu? kata Asyraf menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Wan Saiful yang juga bekas Pengerusi PTPTN dipetik berkata, agensi itu pernah diheret untuk dijadikan sebagai isu politik.
Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, perkara tersebut timbul sejak beliau mula memegang tampuk pentadbiran perbadanan berkenaan sejak 2018.
“Saya sentiasa mengelak daripada menjawab mereka walaupun individu seperti (Datuk Seri Dr) Shamsul Anuar Nasarah dan (Datuk) Asyraf Wajdi (Dusuki) dan beberapa orang lagi banyak membuat provokasi murahan.
“Saya tegas dengan pandangan bahawa PTPTN rosak sehingga menjadi bom jangka kepada kewangan negara kerana ada ahli politik tidak bertanggungjawab yang mempergunakan PTPTN untuk faedah politik jangka pendek,” katanya.
Beliau berkata, ketika mengambil alih jawatan pengerusi PTPTN, kutipan deposit tahunan perbadanan itu adalah sekitar RM700 juta dan selepas empat tahun kutipan kini mencecah RM4 bilion setahun.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan hasil telah diusahakan PTPTN sepanjang tempoh itu selain pemberian moratorium pembayaran semula pinjaman yang membantu peminjam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette