Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kerugian RM1.02 juta selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkannya mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis menerima laporan kejadian daripada mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun, semalam.

“Mangsa menerima panggilan daripada pihak sindiket itu pada pertengahan Mei lepas. Mangsa yang terpedaya telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.

“Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa telah membuat semakan akaun bank miliknya semalam dan mendapati sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM122,300 telah dilakukan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak tidak dikenali.

“Mangsa syak dirinya telah ditipu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- BERNAMA