Rafizi Ramli Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Rafizi Ramli pada Kongres PKR ke-16.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli menyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya bukan seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyakinkan Presiden PKR tersebut bahawa beliau terlibat dalam parti bukan kerana berminat dengan jawatan awam termasuk sebagai menteri.

“Saya ingin sebutkan kepada Anwar, saya mungkin lantang tetapi saya bukan Azmin Ali.

“Saya telah buktikan saya tidak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam. Kalau ingat, tahun lepas bulan Ramadan lepas lama tak jumpa, Anwar minta nak jumpa.

“Anwar pujuk kalau ada kesempatan di Putrajaya boleh pertimbang mendapat tempat saya tidak kata ya atau pun tidak, sebab memang saya tidak berminat.

“Saya harap presiden ingat bahawa saya bukan jenis manis di bibir tetapi tikam di belakang,” katanya dalam ucapan pengulungan Timbalan Presiden PKR sempena Kongres PKR ke-16 hari ini.

Rafizi  berharap segala apa yang akan dilakukan olehnya dalam parti itu akan dihakimi dan diadili berdasarkan usaha, kerja serta konsistensi berkaitan beberapa perkara.

Tambah Rafizi, Anwar kenal beliau sejak berumur 17 tahun dan Presiden PKR itu turut mengadakan majlis persandingan khas untuk dirinya di rumah beliau sehingga mendatangkan rasa cemburu kepada anak-anak Anwar.

“Saya akan terus bercakap macam ini. Mulut saya tak akan manis sampai bila-bila. Saya tidak reti bercakap berlapik. Sebab padangan saya berbeza.

“Saya berpandangan peringatan itu sangat penting kepada kita. Apatah lagi untuk menjaga rakyat dan negara. Peringatan itu perlu diberikan sesama kita,” katanya.

Sementara itu, Rafizi menegaskan, perbezaan pendapat antara dirinya dan Anwar bukan bermaksud berlaku perpecahan dalam PKR.

Sebaliknya ia merupakan persoalan mencari jalan yang terbaik supaya PKR menjadi parti yang lebih agresif, kreatif dan mendepani suara rakyat.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap PRK amat penting bagi membolehkan Anwar menjadi perdana menteri.- MalaysiaGazette