Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Jabatan Matematik dan Sains Ekonomi, Profesor Dr. Marc-Oliver Otto mewakili THU bertukar dokumen MoA disaksikan Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt, Farzamie Sarkawi baru-baru ini merancakkan lagi program dual ijazah antara dua negara ini

PEKAN – Seramai 181 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menamatkan pengajian di dalam program kerjasama dual ijazah di Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HsMA), Jerman.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie berkata, ia merupakan kerjasama UMP dengan universiti berkenaan sejak 12 tahun lalu dalam program kejuruteraan mekatronik, automotif dan elektrikal serta program kejuruteraan perniagaan.

“Program ini bermula dari tahun 2010 dan daripada jumlah itu, seramai 108 pelajar dari kejuruteraan mekatronik.

“Seramai 66 pelajar telah mengikuti program kejuruteraan automotif. manakala tujuh lagi pelajar telah menamatkan pengajian dalam program kejuruteraan perniagaan.

“Kerjasama universiti dengan negara Eropah itu bermula menerusi rundingan UMP dengan German Academic Exchange Service (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa sekitar tahun 2010 dengan sokongan Kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Mühlbauer, Vacuumschmelze dan Elektrisola, sekali gus memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan.

Dalam perkembagan terbaharu, UMP kini menjalinkan kerjasama dengan Ulm University of Applied Sciences (THU) dalam program kelestarian kampus yang berpaksikan pendidikan kejuruteraan Jerman di universiti-universiti yang menawarkan sains gunaan dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Tambahnya, kolaborasi ini melibatkan pertukaran informasi dan pengetahuan, akademik, penyelidikan dan perkongsian amalan terbaik, terutama di dalam penanda aras TVET aras tinggi berdasarkan pendekatan Ulmer Modell yang dilaksanakan di THU.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman pula disaksikan Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt,  Farzamie Sarkawi yang berlangsung di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt. – MalaysiaGazette