Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

MELAKA – Padah terpedaya iklan mengemas rumah pada harga yang murah, seorang peniaga kerugian RM4,700 apabila menjadi mangsa penipuan pertama sindiket menggunakan modus operandi terbaharu itu di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa wanita berusia 46 tahun dari Kuala Sungai Baru tertarik dengan harga murah ditawarkan iklan berkenaan melalui Facebook semalam.

Menurutnya, iklan terbabit menawarkan upah mengemas rumah pada harga RM50 untuk lima jam, jauh lebih murah daripada kebiasaan.

“Tertarik dengan tawaran murah itu, mangsa kemudian telah menekan link WhatApp sebelum mula berurusan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Fiona.

“Mangsa kemudia diarah memuat turun aplikasi shinecleanmaid melalui pautan diberikan suspek iaitu https://shineclean-my.store/00001/shine_clean_release_v2.01.apk untuk membuat tempahan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian telah mengisi semua butiran maklumat tempahan termasuk maklumat akaun dan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM10.

Bagaimanapun jelasnya, transaksi terbabit tidak berjaya sebelum mangsa diarahkan membuat bayaran secara tunai selepas perkhidmatan pembersihan selesai dilakukan.

“Namun selepas 30 minit, mangsa telah menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat pemindahan wang dari akaunnya ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya sehingga licin berjumlah RM4,700 dari akaun berkenaan.

“Mangsa kemudian telah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan bahawa akaunnya dipercayai telah digodam sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru semalam,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Setakat ini, Polis Kontinjen Melaka baru menerima kes pertama melibatkan modus operandi penggodaman fail sebegini dan menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran murah melalui laman sosial.

“Jangan sesekali mengisi butiran peribadi melalui link yang diberikan oleh pihak yang tidak dikenali, sebaliknya segera membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon suspek melalui laman web http://ccid.Rmp.Gov.My/semakmule,” katanya. – Malaysia Gazette.