TERENGGANU perlu mengembalikan semula cadangan pembangunan ladang tanaman jagung bijirin jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa .
Kerajaan perlu bantu menaik taraf ekosistem yang lebih baik kepada rantaian makanan dengan memperbanyakkan penghasilan tanaman yang dijadikan makanan ayam atau pun dipanggil dedak.
Cetusan idea daripada Datuk Seri Shabery Cheek pada awal tahun 2016 ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pertanian bukanlah semata-mata untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang bersifat populis namun ia jauh lebih besar apabila kini negara kita sedang berdepan dengan krisis bekalan makanan ayam ataupun dedak import yang mahal.
Ini menunjukkan beliau sememangnya sudah menjangka dan mempunyai pandangan yang jauh namun seolah-olah tidak diteruskan apabila kerajaan baru mengambil alih tampuk kuasa .
Skim bantuan kepada peladang baharu yang diguna pakai sebelum ini perlu diteruskan dan ditambah baik .
Selain itu, lebih ramai pengusaha industri sokongan dalam bidang pertanian dan penternakan dapat dilahirkan antaranya pembekal baja dan benih, penyedia logistik, pemprosesan serta pihak yang terlibat dengan penjualan dan eksport.
Harga ayam naik bukan berpunca daripada bekalan ayam yang tidak mencukupi sebaliknya ia berpunca daripada kos import makanan ayam yang semakin mahal yang diimport daripada negara sumber utama iaitu Brazil, Argentina dan beberapa negara lain dengan kuantiti 4 juta tan setahun yang bernilai lebih RM 4 bilion .
Saya sarankan supaya kerajaan mengambil tindakan yang drastik jika kembali berkuasa kelak bagi menambahkan pengeluaran makanan ayam ataupun dedak dengan mewujudkan lebih banyak tanaman jagung dan soya tempatan.
Ini dapat membantu pengusaha ayam tempatan untuk menurunkan harga ayam .
Kita perlu sedar menjadi satu ancaman kepada keselamatan makanan negara atau national food security jika permit import ayam dibuka kerana ayam dari luar negara tidak dapat dijamin sepenuhnya setanding dengan bekalan ayam tempatan dari segi mutu dan kualiti yang berteraskan halalan toyyiban .
Maka saya juga ingin sarankan kerajaan supaya mereka harus duduk semeja berbincang dengan pemain industri ayam bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah kenaikan harga ayam yang mendadak .
Hakikatnya idea bagi menurunkan harga ayam dengan mengimport ayam daripada luar tidak akan menyelesaikan masalah jangka panjang yang harus segera diselesaikan dengan mengambil kira kesannya pada masa akan datang .
Kerajaan perlu berfikiran lebih jauh bagi mengatasi sebarang masalah dengan kesan jangka masa panjang yang baik untuk manfaat rakyat.
Syaiful Irfan Anang
Pengerusi
Gerakan Ekonomi Melayu Prihatin Rakyat Terengganu (GEMPUR)