Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk meminda Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan 2022) mendapat kritikan Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), langkah kerajaan meminda Seksyen 2 dan Seksyen 3 dalam RUU berkenaan dipersoalkan.

“Apakah kementerian ini akan berbincang dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) sebab jabatan itu sudah tentu yang mengetahui jumlah dan bilangan tugas kerja di satu-satu jabatan.

“Bila kita letakkan apa-apa bilangan seolah-olah benda ini terlalu besar.

“Bagi saya, dalam konteks hari ini bila pekeliling Kementerian Kewangan keluar untuk berjimat sepatutnya kita harus melihat kepada jentera yang kecil tapi mampu buat kerja yang besar,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan yang dibacakan kali kedua hari ini.

Jelas Mahfuz, Seksyen 2 dan 3 RUU berkenaan memberikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kuasa untuk melantik bilangan timbalan ketua pengarah dalam RUU berkenaan.

Justeru itu, Mahfuz secara sinisĀ  berkata; “Maknanya bilangan yang kecil tapi punya otak yang besar, jangan macam Kabinet hari ini, jumlah yang besar tapi otak kecil.

“Kita tidak mampu keluar daripada krisis yang berlaku seolah-olah kerajaan seperti kapal hanyut,” katanya.

Untuk rekod, Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan 2022) dibentangkan dengan meminda kepala bahagian 2 dengan memasukkan selepas perkataan ‘Ketua Pengarah’ perkataan ‘Dan Timbalan Ketua Pengarah’.

Dalam pindaan RUU ini, ketua pengarah boleh mengkompaun apa-apa kesalahan yang ditetapkan sebagai suatu kesalahan yang boleh kompaun dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaun kesalahan itu dengan membayar kepada ketua pengarah suatu amaun wang yang tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum yang orang itu boleh dikenakan jika dia telah disabitkan atas kesalahan itu. – MalaysiaGazette