PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah lebih RM24 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor terhadap seorang wanita yang merupakan bekas CEO berusia lingkungan 50-an, lelaki berusia 58 tahun yang tidak bekerja dan perunding kewangan yang berusia 53 tahun, selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.
Menurut sumber, ketiga-tiga individu itu ditahan di SPRM Putrajaya kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
— BERNAMA