Lelaki yang didakwa menghina Islam mengalami kecederaan selepas dibelasah sekumpulan individu di Puchong 12 Julai lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pagi esok.

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan yang diberkas kerana menghina agama Islam pada 12 Julai lalu akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Bukit Aman berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mengendalikan siasatan akan mendakwa suspek berusia 30-an itu di Mahkamah Sepang.

“Untuk makluman, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman akan membuat pertuduhan terhadap lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan yang telah menghina Islam menerusi sebuah video Tiktok yang tular di Youtube minggu lalu.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan di Mahkamah Sepang pukul 9 pagi esok,” kata satu kenyataan Bukit Aman hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Islam: Penghantar makanan direman empat hari

Polis tahan lelaki hina agama Islam

Pada 17 Julai lalu, polis dalam kenyataannya mengesahkan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun atas perbuatan menghina umat dan agama Islam serta nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video tular di media sosial.

Suspek telah ditahan di sebuah rumah di Batu 8, Bukit Kuchai, Puchong pukul 12.30 tengah hari.

Semasa tangkapan dibuat suspek didapati telah dipukul dan dicederakan oleh orang awam selepas suspek telah mencabar orang ramai untuk membunuhnya selepas menghina agama Islam dalam video tular itu media sosial.

Suspek kemudian telah direman selama empat hari sehingga 21 Julai 2022 untuk membantu polis melengkapkan siasatan. – MalaysiaGazette