MELAKA – Empat sahabat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rogol berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan di lapangan terbang kecil di Jasin di sini Ahad lalu.
Kesemua tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19, dan Muhammad Firdaus Noor Apande, 18, serta dua lagi rakan mereka masing-masing berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Lapangan Terbang Aerodrom Sungai Rambai, Jasin, kira-kira jam 4 pagi pada 17 Julai lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Tertuduh, Khairul Asnawi turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi tidak mencadangkan sebarang jaminan bagi kesalahan rogol, namun mencadangkan jjaminan RM20,000 dengan dua penjamin bagi kesalahan amang seksual.
Peguam Chua Yong Yi, bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan alasan Khairul Asnawi adalah anak sulung dan perlu menjaga tiga adiknya selain bapanya hanya bekerja di kilang papan.
Katanya, Muhammad Firdaus pula mempunyai adik berusia 12 tahun, manakala anak guamnya berusia 17 tahun telah kematian ibu dan ayahnya baru sahaja terlibat dalam kemalangan jalan raya pada minggu lalu.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Firdaus dan tertuduh berusia 17 tahun dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala RM5,000 bagi tertuduh berusia 16 tahun.
Khairul Asnawi bagaimanapun dikenakan jaminan sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Kesemua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dalam apa jua keadaan sehingga kes selesai .
Mahkamah menetapkan 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette.