Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap kepada media pada Demonstrasi Aman 'Tanah Melayu Berdaulat Bantahan Keras Perbuatan Mempersenda dan Menghina Allah SWT, Agama Suci Islam dan Bangsa Melayu' di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya undang-undang berkaitan penghinaan Islam dan Melayu dipinda di Parlimen dengan segera bagi memastikan tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak berulang.

Pengerusi Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, selagi mana undang-undang itu khususnya syariah tidak digubal, penghinaan secara terbuka itu semakin membimbangkan.

“Penghinaan ini makin lama makin teruk, penghinaan agama Islam, penghinaan Allah SWT, penghinaan Nabi Muhammad SAW sudah terlampau lama dan berlarutan.

“Jadi hentikan dengan cara ahli Parlimen menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Bahas dan ubah undang-undang penghinaan Islam supaya ia jadi kuat.

“Bukannya bila mahkamah sivil sudah bagi hukuman tapi mahkamah syariah tak ada hukuman pula, malulah kita,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyertai Demonstrasi Aman ‘Tanah Melayu Berdaulat’ anjuran Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam bagi membantah perbuatan mempersenda serta menghina Allah SWT, Islam dan Melayu di luar Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Waris Pekembar Malaysia, Naseron Ismail; Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu (MPN), Shahbudin Embu dan Setiausaha Pekembar, El Jiffy Abdul Azis.

Katanya lagi, pindaan undang-undang Syariah itu merupakan keperluan mendesak bagi menaikkan martabat Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini.

“(Dengan pindaan undang-undang syariah) untuk memartabatkan agama Islam.

“Sesiapa yang menghina (Islam) bagi hukuman yang berat untuk beri pengajaran (kepada lain) supaya jangan sentuh isu agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette