Zalina Shaharah Azman

KUALA LUMPUR – Polis kini memulakan usaha mengesan  pekerja yang terlibat dalam kerja pengubahsuaian rumah bekas personaliti berita TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak 24 November 2021.

Dengan harapan mendapat petunjuk baharu , polis meneruskan usahanya dalam pelbagai sudut siasatan mengenai kehilangan misteri itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil untuk proses keterangan.

“Buat masa ini, kita sudah panggil enam orang yang terdiri daripada ahli keluarga Zalina dan sudah selesai dirakam keterangan daripada mereka.

“Enam ahli keluarga (diambil keterangan) selepas laporan polis dibuat tentang kehilangan Zalina (bagi membantu siasatan).

“(Polis) masih meneruskan siasatan dengan harapan menemui petunjuk baharu dan sedang mengesan pekerja- pekerja yang difahamkan telah bekerja mengubahsuai rumah orang hilang itu (Zalina),” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Bekas personaliti TV3, Zalina Azman dilapor hilang sejak November lalu

Pemilik kafe dakwa dikunjungi wanita mirip Zalina

Wanita mirip Zalina muncul di kafe adalah gelandangan – Polis

Justeru difahamkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah bekas personaliti itu terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya disedari.

Dalam kenyataan awal 19 Julai lalu, polis menghebahkan tentang kehilangan Zalina dan mahu kerjasama orang ramai untuk menjejaki wanita tersebut.

Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Katanya, dalam laporan itu, anak Zalina mendakwa telah cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk dimasukkan ke hospital namun gagal.

“Pada 29 November, anaknya dan bapa saudara datang ke rumah ibunya di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah.

“Pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun, turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600,” katanya.

Namun, semalam tular berita seorang wanita mirip Zalina telah dikesan berkunjung ke sebuah kafe di Seksyen 3 Shah Alam seperti didakwa seorang pekerja cafe tersebut.

Bagaimanapun siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup dan juga wanita itu rupanya adalah seorang gelandangan dari tasik di Seksyen 2, Shah Alam.

Justeru Imigresen juga mengesahkan Zalina masih berada di dalam negara kerana tiada rekod mangsa ke luar negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast