Zalina Azman (kanan). Foto Instagram Ras Adiba Radzi.

KUALA LUMPUR – Terdapat petunjuk baharu berita kehilangan Zalina Azman apabila ada individu mendakwa melihat seorang wanita mirip bekas personaliti TV3 itu pada Ahad lalu.

Individu berkenaan menerusi Twitter miliknya, Mosyuki Borhan mendakwa seorang wanita seperti Zalina muncul di kafe miliknya Dos Cafe di Seksyen 9, Shah Alam pukul 1 petang dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

“Ketika di kaunter hendak memesan makanan, dia toleh belakang, kanan dan kiri. Agak mencurigakan. Apabila saya tanya okay atau tidak, dia hanya mendiamkan diri.

“Pekerja yang lain memintanya duduk terlebih dahulu dan mengambil pesanan kemudian. Dia tidak banyak bercakap tapi apa yang keluar daripada mulutnya adalah ‘saya takut besi’.

“Bercakap dalam keadaan takut, macam ada benda yang berlaku,” tulisnya.

Mosyuki berkata, reaksi wanita itu mungkin disebabkan di dalam kedainya terdapat banyak besi.

Bercerita lanjut mengenai wanita itu, Mosyuki berkata, pada awalnya, individu itu kelihatan takut untuk masuk ke dalam restoran dan dia berdiri lama di hadapan pintu.

Tidak pasti mengapa dia berkelakuan demikian namun wanita itu mungkin teragak-agak untuk masuk kerana tombol pintu diperbuat daripada besi.

“Masa nak keluar kedai, dia langgar sahaja pintu sebab tidak mahu pegang tombol. Saya kasihan melihatnya. Nampak macam kelaparan tapi dia terus berlalu pergi sebab dia macam insecure, takut dan rasa terancam.

“Kami pun ikut keluar kedai dan tengok arah mana dia pergi. Dia berjalan tanpa arah macam mencari sesuatu. Laju,” jelasnya.

Ketika itu dia cuma berharap wanita itu selamat sahaja masa itu malah tidak sempat untuk menawarkan makanannya kepadanya.

Insiden yang melekat di minda Mosyuki itu membuatnya tersentak apabila pada malam Isnin lalu mereka membaca laporan tentang kehilangan seorang bekas personaliti televisyen terkenal.

Mosyuki memberitahu dia menjadi tidak senang duduk dan rasa berdebar kerana teringatkan wanita yang datang ke kedai mereka.

Tidak berlengah, dia terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Shah Alam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas personaliti TV3, Zalina Azman dilapor hilang sejak November lalu