Zalina dilaporkan hilang sejak November 2021

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Katanya, dalam laporan itu anak Zalina mendakwa telah cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk dimasukkan ke hospital namun gagal.

“Pada 29 November, anaknya dan bapa saudara datang ke rumah ibunya di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah.

“Pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun, turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun tambahnya, pengadu tidak menjumpai ibunya. Segala usaha mencari sudah dijalankan namun gagal menemui mangsa sehingga kini.

Justeru itu Mohd Iqbal berkata, hari ini pihak polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa dengan menagih bantuan awam bagi membantu polis dalam siasatan kes tersebut.

“Selepas semua ikhtiar diambil selama ini dan gagal untuk temui wanita itu, maka kami kini meraih kerjasama serta bantuan orang ramai mengesan wanita yang masih hilang itu,” ujarnya.

Di dalam maklumat hebahan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyiarkan gambar Zalina serta butiran perbadi penampilan wanita itu yang berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan atau menghubungi segera Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.-MalaysiaGazette