SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak menaikkan kadar cukai taksiran ketika rakyat masih berdepan kos sara hidup yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han yang berkata, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 Julai lalu.
Menurut beliau, keputusan itu turut mengambil kira isu kenaikan harga barang dan inflasi makanan yang semakin tinggi kebelakangan ini.
Katanya, kerajaan negeri akan terus menumpukan untuk menggerakkan kembali ekonomi melalui pelbagai program pembangunan sumber manusia dan rangsangan menarik masuk pelaburan agar peluang pekerjaan terus meningkat.
“Rancangan Selangor Satu (RS-1) juga sedang dirangka untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi merealisasikan kehidupan rakyat yang lebih mampan dan lestari.
“Inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) turut dilaksanakan bagi membantu kira-kira 30,000 keluarga berpendapatan rendah dengan peruntukan sebanyak RM108 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk menguatkuasakan semakan nilaian baharu cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan akan mengambil kira keadaan hidup dan kesejahteraan rakyat Selangor.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka membentangkan RS-1 pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Isnin ini.
Pembentangan pelan lima tahun itu berfungsi membina daya tahan kukuh bagi mendepani cabaran masa depan dalam persekitaran yang kian kompleks.
Kerangka pembentukan RS-1 meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial. – MalaysiaGazette