Penolong Pegawai Penguatkuasa Ketua Bahagian Operasi, Paramasivam Chelliah menampal notis penutupan premis semasa satu serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

RAWANG – Bukan seminggu dua, tetapi sudah tujuh bulan diberi kelonggaran, namun teguran pihak berkuasa Majlis Perbandaran Selangor (MPS) kepada sebuah premis hiburan agar mendapatkan kelulusan pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaannya tidak diendahkan.

Bagaimanapun, kedegilan sebuah premis hiburan beroperasi di Pusat Komersial Anggun, di sini, yang berselindung di sebalik perniagaan restoran sejak Disember 2021 tanpa lesen perniagaan sah tidak bertahan lama apabila premis itu disita pihak berkuasa.

Taktik pengusaha premis yang berani meneruskan operasi premis secara haram dengan mengaburi mata pihak berkuasa itu dihidu MPS dalam Operasi Pusat Hiburan, malam tadi.

Petugas Majlis Perbandaran Selayang menutup sebuah premis dalam satu serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

Difahamkan, premis yang beroperasi sejak tahun lalu itu pernah dikenakan kompaun pihak polis kerana menjalankan aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan.

Ketua Bahagian Operasi MPS, Paramasivam Chelliah berkata, premis itu adalah antara lima premis restoran dan bar yang disita pihak berkuasa tempatan itu atas pelbagai kesalahan.

Petugas Majlis Perbandaran Selayang merampas arak yang dijual tanpa kebenaran permit semasa satu serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

Katanya, serbuan yang bermula jam 9 malam dan berakhir pada pukul 12 tengah malam dengan kekuatan 60 pegawai dan anggota itu dijalankan susulan risikan yang dilakukan pihaknya di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan malam ini mendapati sebuah premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan selain menjalankan aktiviti hiburan tidak dibenarkan dan menjual minuman keras tanpa permit sah dari pihak berkuasa.

Petugas Majlis Perbandaran Selayang merampas arak yang dijual tanpa kebenaran permit semasa satu serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

“Justeru, semakan anggota penguatkuasa juga mendapati, premis ini pernah diberi notis dan dikompaun dalam satu operasi bersepadu beberapa bulan yang lalu.

“Jadi kali ini kita (MPS) tanpa kompromi, kami mengambil tindakan tegas dengan menyita premis berkenaan disebabkan kelalaian pengusaha untuk memohon lesen walaupun sudah memberi masa dan kelonggaran sebaik-baiknya tanpa tindakan awal,” katanya ketika ditemui di lokasi selepas serbuan dilakukan malam tadi.

Tambah beliau, dalam operasi iti, MPS turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 kepada pengusaha premis bar dan hiburan di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 2001 kerana beroperasi tanpa lesen.

Petugas Majlis Perbandaran Selayang melihat lesen perniagaan di sebuah premis semasa serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

“Masalah kami dalam borang permohonan lesen semua syarat sudah lengkap disertakan untuk diikuti pemohon,tetapi mereka gagal menghantar borang yang lengkap dengan segala dokumen penting yang disyaratkan PBT.

“Mereka cuba kaburi mata kami dengan menjalankan perniagaan bar dan restoran, tapi pada menu mereka terdapat senarai arak dijual yang mana mereka tidak ada kebenaran lesen untuk barang alkohol itu daripada kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat lagi premis juga dikenakan tindakan sita selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menjual minuman keras tanpa permit untuk barang beralkohol.

Jelasnya, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan hiburan serta lebih 400 botol minuman keras yang tidak dimohon kebenaran menjual di premis mereka.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 2001, Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Establishmen Makanan (MPS) 2007, Seksyen 43 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 serta Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Petugas Majlis Perbandaran Selayang menyita barang yang terdapat di salah sebuah premis yang terlibat dalam serbuan Ops Lesen Hiburan disekitar Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

“Kita tidak menghalang atau menentang mana-mana aktiviti hiburan di negara ini khususnya di kawasan pentadbiran kami untuk dijalankan tetapi ia perlulah dengan cara mendapatkan lesen perniagaan yang sah dan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami sudah memberi peluang dan kelonggaran kepada mereka pada waktu pandemik, sekarang tiada lagi alasan yang akan diterima, kami bertindak tegas ke atas mereka kali ini,” katanya.

Justeru katanya, premis yang disita dan ditutup itu telah diberi tempoh selama 14 hari bermula tarikh penutupan untuk mengemukakan rayuan kepada MPS dan sepanjang tempoh itu premis berkenaan tidak dibenarkan beroperasi.

“Sekiranya mereka gagal membuat rayuan dalam tempoh yang dibenarkan, hari ke-15 kita akan menutup premis itu selama-lamanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette