PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu merupakan suspek keempat yang ditahan suruhanjaya tersebut selepas tiga individu, termasuk seorang CEO wanita, direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

Majistret R.Prabakaran membenarkan suspek keempat direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai ini setelah pSPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Di mahkamah sama, majistret membenarkan suspek CEO wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.

CEO wanita yang disambung reman tiga hari lagi untuk melengkapkan siasatan SPRM di Majistret Putrajaya hari ini.Ihsan SPRM

Menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Ipoh kira-kira jam 4 petang semalam (22 Julai).

Dalam pada itu, sumber sama berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan telah berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, difahamkan SPRM telah membekukan 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut.

“Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta,” ujar sumber.

Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Tambahnya, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejaki aset.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette