KUALA LUMPUR – Prestasi memberangsangkan filem Mat Kilau telah menjadi suatu fenomena baharu yang berjaya melonjakkan semangat luar biasa kepada generasi muda di negara ini.
Walaupun pada awalnya berlaku kontroversi dan kritikan pedas beberapa aktivis kebudayaan, namun ia telah melonjakkan rasa ingin tahu generasi muda dan sebahagian besar masyarakat bukan Melayu.
Kesedaran tentang sejarah perjuangan penentangan bangsa ke atas penjajah barat mulai mekar dan menjadi kepedulian luar biasa generasi muda ketika ini.
Menurut penulis lirik kumpulan muzik metal tempatan, Farasu, Mustafa Kamal Abdul Rahman, masyarakat mula kembali menggali sejarah lampau negara, watak pejuang kemerdekaan, peristiwa penentangan penjajah barat, kebudayaan Melayu dan silat.
“Ia bukanlah sesuatu yang janggal, tetapi ia adalah fenomena yang membangkitkan kepekaan baharu terhadap warisan bangsa seperti silat, senjata-senjata Melayu, busana tradisional dan jati diri.
“Farasu melihat fenomena Mat Kilau adalah cetusan positif buat anak bangsa menghayati sejarah perjuangan melawan penjajahan barat,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Artikel berkaitan: https://malaysiagazette.com/2019/01/05/jadikan-muzik-sebagai-penyatuan-masyarakat/
Menurutnya, inspirasi perjuangan generasi dahulu kala sebelum ini telah diabadikan dalam karya seni kumpulan muzik itu menerusi album Sulalatus Salatin yang diterbitkan pada 2018.
“Farasu mengabadikan peristiwa pertempuran antara tentera Rembau pada 1645 yang mengalahkan pasukan penjajah Belanda di Rembau.
“Pertempuran itu bermakna dalam sejarah tanah air kerana itulah kali pertama Belanda ditewaskan malah mengorbankan kapten dan syahbandar Belanda. Ketika itu Belanda menguasai Melaka setelah menewaskan Portugis pada 1643.
“Lebih menarik, pasukan tempur Rembau dilengkapi dengan senjata api seperti istanggar dan rentaka. Farasu telah menjadikan peristiwa bersejarah itu sebagai inspirasi bagi lagu Rentaka Blast yang dimuatkan dalam album Sulalatus Salatin,” katanya.
Mustafa Kamal yang juga pemain drum kumpulan itu berkata, maklumat peristiwa tentera Rembau menewaskan Belanda itu diperoleh daripada tulisan blog sejarah Nagari Nan Tuo susunan kurator Galeri Diraja Tuanku Jaafar, Mohd Khairil Hisham sebelum dijadikan bait lirik.
“Sebelum itu Mohd Khairil merupakan pengkaji sejarah bebas Negeri Sembilan yang membuat kaji selidik sumber-sumber sejarah tempatan dari Belanda selain Portugis dan Inggeris.
“Akibat pertempuran itu, berlaku perjanjian damai antara Rembau dan Belanda-Melaka waktu itu. Malah menurut catatan blog Nagari Nan Tuo, Belanda telah menjadikan Rembau sebagai negara sahabat Belanda,” jelasnya.
Selain sejarah melawan penjajah, Farasu turut menerapkan kisah-kisah sejarah Melayu dari Bengkalis dan Perak dalam album sama iaitu Lagenda Lancang Berdarah (kisah Lancang Kuning) dan Enthrone The Jinn (kisah pertabalan Sultan Perak pertama).
“Mat Kilau adalah permulaan yang positif dalam melahirkan semangat kenegaraan tanpa melibatkan unsur politik kepartian.
“Namun ia adalah perkara normal sekiranya ada pandangan dan pendapat yang bersifat kontra, tetapi ia baik dalam mewujudkan keseimbangan penilaian dan perdebatan ilmiah,” katanya.
Tambahnya, bidang seni seperti muzik dan filem adalah landasan ideal untuk mengetengahkan elemen sejarah dan penerapan penghayatan budaya bangsa yang mudah diterima oleh masyarakat.
“Walaupun kerangka asasnya ialah seni kreatif, tetapi aspek mendidik mahupun mendoktrin rakyat terhadap kenegaraan boleh dilakukan secara santai dan bukan paksaan.
“Filem Mat Kilau telah mengimarahkan perpaduan dalam masyarakat, bukan dinilai aspek perkauman. Setiap peristiwa pasti ada negatif dan positif yang menggerakkan jalan cerita kejadian,” ulasnya.
Dalam perkembangan sama, Farasu akan meneruskan kesinambungan menghargai sejarah negara dalam projek album baharu sempena 20 tahun Farasu, tahun ini.
Jelasnya, konsep album kali ini menampilkan kisah sejarah Kapal Mendam Berahi yang pernah tercatat dalam sejarah sebagai kapal perang Kesultanan Melaka yang dikepalai oleh Laksamana Hang Tuah.
“Beberapa kisah sejarah purba seperti Gangga Negara, Tanah Serendah (kerajaan tua di Kelantan) dan lagenda Puteri Gunung Ledang juga bakal ditampilkan dalam album baharu ini.
“Sejarah peperangan, kezaliman pemerintah, mitos antara subjek kepada kami (Farasu) untuk berkarya untuk mendekatkan masyarakat kepada sejarah tanah air yang disampaikan dalam bentuk muzikal dan lirik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette