PUTRAJAYA – Keluarga bekas personaliti TV, Zalina Shaharah Azman risau akan keberadaan wanita itu selepas dilaporkan hilang sejak November tahun lepas, menurut Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Ras Adiba berkata, dalam pertemuannya bersama keluarga Zalina Shaharah di balai polis di Shah Alam semalam, keluarga wanita itu meluahkan rasa resah mereka memandangkan sehingga sekarang tiada petunjuk jelas tentang lokasinya.
“Saya berkesempatan berjumpa dengan anak beliau dan abangnya yang saya kenal sejak sekian lama dan mereka seisi keluarga mencari-cari juga dan mereka pun seperti kita mengadakan doa selamat dan bacaan Yasin agar urusan kita ni dipermudahkan.
Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral berkata beliau sendiri telah pergi ke balai polis di Shah Alam selepas mendapat berita ada dua wanita yang dikatakan mirip sahabatnya itu berada di sana.
“Selepas saya berkomunikasi dengan dia dan saya melihat dia sendiri, itu bukanlah Zalina (Shaharah) dan seorang lagi yang mereka katakan berlegar-legar di Shah Alam, itu pun bukan Zalina (Shaharah).
Ditanya mengapa tempoh lama diambil sebelum mengumumkan kehilangan Zalina Shaharah, Ras Adiba berkata polis sudah membuat hebahan tahun lalu namun hanya segelintir yang tahu disebabkan penggunaan nama penuh personaliti itu.
Beliau berkata pertama kali ia dihebahkan tahun lepas menggunakan nama penuh Zalina Shaharah Azman selain gambar yang digunakan kurang jelas menyebabkan orang ramai sukar mengenalinya.
“Jadi apabila kakak saudara saya yang tinggal di London, Haliza Hashim, menghantar saya kiriman terbaru Facebook yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, dia tanya saya adakah ini Zalina (Shaharah), saya katakan “Ya, memanglah”.
“Dari situ saya terus hebahkan kepada semua dan memberitahu kepada masyarakat dan sahabat-sahabat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ras Adiba turut memohon kepada orang ramai untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung kehilangan Zalina Shaharah sebaliknya sama-sama mencari wanita itu.
“Saya bersyukur semua orang begitu prihatin namun begitu saya juga mohon kepada mereka supaya mengambil gambar atau video supaya kita tahu di mana lokasi dan adakah itu sahabat kami.
“Kepada semua, saya memerlukan bantuan anda untuk mencari dia, jika anda melihat atau jika tahu apa-apa tentang dia, sila maklumkan kepada saya,” katanya.
Ras Adiba berkata beliau optimis bekas pembaca berita itu masih hidup dan akan terus berusaha mencarinya.
“Sekiranya beliau (masih) hidup, saya akan terus mencari namun sekiranya beliau tidak ada, seperti saya kata, kalau beliau di lautan saya mohon ditimbulkan, sekiranya di perut bumi saya mohon diberitahu arah di mana kita boleh mencari sahabat kita itu,” katanya.
Polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – BERNAMA