SUNGAI BULOH – Penubunan Perikatan Nasional (PN) merupakan satu impian yang menjadi kenyataan kepada UMNO.
Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa, PN menjadi alat kepada UMNO untuk memecahkan undi daripada diperolehi Pakatan Harapan (PH).
Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor berkata, UMNO tidak mahu pertandingan satu lawan satu berlaku dalam mana-mana pilihan raya.
Justuru, penubuhan PN merupakan salah satu strategi UMNO untuk memecahkan undi dan sekaligus memenangi pilihan raya.
“Pilihan raya akan datang suasananya akan berbeza. Kalau dahulu ada dua kumpulan BN, PR; BN, PH. Sekarang ada pulak group ketiga silap-silap ada kumpulan keempat, kelima.
“Pecahan undi akan berlaku. Ini yang saya katakan penubuhan Perikatan Nasional adalah impian dan strategi lama UMNO. Bertahun-tahun UMNO, BN tak nak satu lawan satu,” katanya.
Amirudin berkata demikian dalam ucapan pada program Jelajah Harapan Selangor siri ketiga malam tadi.
Beliau turut mendakwa penubuhan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) juga merupakan strategi UMNO untuk menewaskan gabungan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Amirudin turut mendakwa, UMNO mengadakan kerjasama dengan Pas pada PRU14 untuk memastikan tiada pertandingan satu lawan satu bagi memecahkan undi.
Katanya, strategi yang sama turut digunakan pada pilihan raya negeri di Melaka dan Johor yang menyaksikan PH tumbang di kedua-dua negeri itu.
UMNO menurut beliau, walaupun tidak berjaya meraih undi majoriti pada pilihan raya tersebut tetap mampu membentuk kerajaan negeri akibat pertandingan lebih tiga penjuru antara BN, PH, PN dan bebas.
“Dia akan taja lawan. Pada PRU ke-13 dia telah taja Berjasa. Untuk apa? Pecahkan undi.
“Pada tahun 2018 dia berjaya pujuk Pas untuk diam-diam berkahwin dengan dia. Bergabung dengan UMNO diam-diam. Taja pertandingan tiga penjuru.
“Dia memang suka pertandingan tiga penjuru kerana yakin undi akan pecah. Di Melaka 60 peratus tak hendak UMNO tetapi UMNO menang pilihan raya. Johor tak sampai 55 peratus UMNO BN dapat undi, dia menang dua pertiga kerusi,” kata Amirudin.
Sementara itu Amiruddin berkata, UMNO dan tidak akan berjaya untuk menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana, program-program pembangunan dan ekonomi yang dilaksakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan PH cukup lekat di hati rakyat.-MalaysiaGazette