SHAH ALAM – Tujuh daerah di negeri ini diramalkan mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 9 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tujuh daerah itu melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Malah, katanya, situasi sama juga diramal di seluruh Kuala Lumpur, Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Hilir Perak), Melaka (Jasin) serta Johor (Tangkak).
“Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya menerusi ciapan Twitternya tengah hari ini. – MalaysiaGazette