GEORGETOWN – Tindakan pemilik bot penumpang membawa pelancong tanpa lesen membawa padah selepas Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan bot tersebut semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan jam 5.25 petang pada kedudukan 0.19 batu nautika Tanjung Puchat, Mukah Head, Teluk Bahang.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot yang dikendalikan tekong tempatan berusia 32 tahun itu baru mengambil tiga pelancong di perairan Tanjung Puchat.

“Siasatan lanjut membawa kepada pendedahan bot tersebut membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insuran telah tamat tempoh.

“Susulan itu, bot serta tekong tersebut ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah selain insurans tamat tempoh.

Mengulas lanjut Abd Razak menegaskan, pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut diingatkan untuk mematuhi undang-undang serta peraturan dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette