Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi menunjukkan dokumen passport dan surat tawaran pekerjaan yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam menumpaskan sendiket penipuan pekerjaan ke luar negara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Satu sindiket yang merekrut dan memperdaya warga Malaysia dengan tawaran kerja yang menawarkan gaji lumayan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Myanmar tumpas dengan tertangkapnya dua individu dalam serbuan di Taman Setia Impian, Kajang pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, suspek warga Taiwan berperanan mencari pekerja dengan komisen AS$1,000 untuk setiap mangsa dengan memperdaya individu dalam kalangan rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara sebagai operator pusat panggilan (scammer) dan judi dalam talian.

Katanya, beliau menggunakan agen warga tempatan untuk mencari pekerja yang berminat untuk bekerja di luar negara.

“Setiap ejen akan dibayar komisyen sekiranya berjaya mendapatkan pekerja dan setiap pekerja yang berminat mesti mempunyai passport yang sah.

“Suspek warga Taiwan ini juga akan menguruskan untuk mendapatkan sijil pemeriksaan kesihatan Covid-19 dan tiket penerbangan setiap pekerja melalui sebuah agensi pelancongan di Taiwan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Sasikala, kesemua warga Malaysia itu yang telah bersedia untuk bekerja akan ditempatkan di sebuah premis sebelum berlepas ke luar negara.

Tambah beliau, suspek warga Malaysia yang bertugas sebagai pemandu berperanan menghantar mangsa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan oleh warga Taiwan.

Sasikala berkata, serbuan yang dilakukan itu turut membawa kepada rampas enam buah telefon bimbit, 14 buah passport Malaysia, 14 keping borang pemeriksaan Covid 19, 19 keping borang “‘Visa Approval to Myanmar ‘ dan tujuh keping borang Visa UAE.

Selain itu, polis turut merampas merampas sebuah kenderaan pelbagai guna yang disewa atas nama suspek warga Malaysia, ujarnya.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket itu mula beroperasi pada awal Jun lalu.

Menurut Sasikala, polis masih dalam proses mengenalpasti jumlah dan identiti warga Malaysia yang telah berlepas ke luar negara.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 40 tahun itu dan suspek warga Malaysia memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Tambahnya, kini direman selama empat hari sehingga esok dan reman akan disambung untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan. – MalaysiaGazette