KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 pekerja dari Pakistan akan diambil bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pemain industri untuk mengurangkan pergantungan tenaga kerja dari Indonesia dan Bangladesh.
Sebaliknya sektor itu perlu terbuka untuk menerima tenaga kerja dari Pakistan dan India.
“Saya lihat dalam laporan yang telah dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia ada potensi untuk pekerja dari Pakistan untuk masuk dalam bidang perladangan.
“Saya lihat angkanya meningkat dari Pakistan ada 1,000 lebih dan pekerja dari India juga ada untuk sektor perladangan.
“Saya akan minta pemain industri dalam bidang perladangan untuk cuba pasaran pekerja dari India dan Pakistan. Jadi tidak terlalu bergantung pada Indonesia dan Bangladesh,” kata Zuraida.
Beliau diminta mengulas mengenai isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor tersebut susulan keputusan Indonesia untuk mengenakan pembekuan sementara ke atas pekerjanya ke Malaysia
Sementara itu Zuraida berkata, tidak timbul isu bayaran gaji rendah kepada pekerja dalam sektor perlandangan sehingga tidak menarik rakyat Malaysia untuk terlibat dalam pekerjaan tersebut.
Menurut beliau, kadar upah yang diberikan adalah yang terbaik dan melebihi gaji minima.
“Dalam industri perlandangan saya berani cakap ia memberikan salari terbaik lebih daripada gaji minimum antara RM2,000 hingga RM2,500. Kita tidak ada isu dalam gaji,” katanya.
Indonesia sebelum ini dilaporkan membekuan sementara penghantaran pekerjanya ke Malaysia atas dakwaan melanggar syarat dalam memorandum persefahaman pekerja domestik dimeterai baru-baru ini antara kedua-dua negara.
Mengenai isu harga minyak sawit, Zuraida berkata, harga komoditi itu telah turut sebanyak 10 peratus.
“Harga minyak masak dalam botol sudah turun 10 peratus. Saya ingat yang 5 kilogram sudah turun.
“Semalam kita telah membuat pengumuman minyak yang dibungkus dalam polibeg tidak boleh dieksport. Jadi kita boleh kawal. Nampak polibeg sahaja memang tidak boleh eksport semua untuk kegunaan dalam negara,” katanya.
Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas pelancaran Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.- MalaysiaGazette