Mohd Zawawi Ahmad Mughni

SHAH ALAM – Setakat ini lima pelajar dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) telah dipilih menerima biasiswa Dato’ Menteri Besar atau Biasiswa Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN)  pelajar yang layak menerima biasiswa itu ialah yang mendapat keputusan 9A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menjawab soalan Saari Sungib (Hulu Kelang), beliau berkata, lima pelajar itu kini telah diterima masuk ke dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Tenaga Malaysia (UNITEN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga turut melaksanakan Program Hufaz Profesional sejak 2021.

“Kita akan mengembangkan program seumpama ini ke universiti lain dalam negara,” katanya.

Mengenai modul latihan Hafiz Genius dan dari mana guru mendapat latihan, Mohd Zawawi berkata, modul latihan kepada pelajar hufaz adalah di bawah tanggungjawab universiti berkenaan.

Katanya, terdapat juga kerjasama antara UNITEN dan UIAM dengan Darul Quran JAKIM dalam membangunkan modul yang digunakan oleh pelajar tersebut.

“JAIS juga bersedia untuk mengkaji bagi meningkatkan keupayaan pelajar tahfiz dalam pelbagai bidang dan kemahiran, selain dalam masa sama dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya. – MalaysiaGazette