MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

POLEMIK mengenai penerimaan dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kembali muncul baru-baru ini. Awal tahun ini, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 telah diumumkan dan Malaysia berada di tangga yang ke-62 dengan skor 48, iaitu satu lagi penurunan sejak dua tahun berturut-turut, telah mengundang sebuah badan pemantau rasuah untuk mengkritik laporan CPI Malaysia.

Yang terbaharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM pula membuat kenyataan bahawa CPI bukanlah ukuran “sebenar” bagi keadaan rasuah di negara ini malah hanya sebuah “persepsi”. Sebenarnya, kenyataan seperti ini menunjukkan kurangnya kefahaman pihak yang membuat kenyataan tersebut mengenai cara indeks ini diperoleh dan keberkesanannya untuk mengukur tahap rasuah dalam sesebuah negara.

Izinkan kami menerangkan apakah sebenarnya Indeks Persepsi Rasuah sebagai titik permulaan. Saya ingin menyatakan bahawa sejak indeks ini dikeluarkan pertama kalinya pada tahun 1995, pihak Transparency International (TI) tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa CPI adalah “ukuran sebenar rasuah”. Saya
ulangi, tidak pernah.

CPI bertindak sebagai indeks yang lebih berfungsi sebagai “indikator yang boleh diukur” kerana indikator tersebut dapat membantu memberi isyarat terhadap perkara yang berlaku dalam negara ini, di mana setiap satunya berkait rapat dengan masalah rasuah yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa seperti SPRM.

Di sebalik suara negatif mengenai CPI, banyak pihak yang menyambut baik hasil laporan CPI dengan menggesa agar ia dijadikan pengajaran untuk memperbaiki kedudukan Malaysia, sekali gus mencapai matlamat Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP).

Bagi tujuan pendidikan melalui artikel ini, kami ingin menumpukan kepada kritikan yang mendakwa bahawa CPI secara tidak adilnya telah memburukkan imej negara. Itu sama sekali bukanlah hasrat mana-mana agensi yang menghasilkan indeks peringkat antarabangsa.

Pihak yang mengkritik CPI juga telah melemparkan pelbagai persoalan kepada TI Malaysia (TI-M) dan turut mengesyorkan Malaysia meninggalkan tinjauan CPI seperti yang dilakukan oleh sesetengah negara.

Polemik mengenai CPI yang melibatkan Malaysia wajar dilihat dari sudut positif dan bukannya “mari kita keluar daripadanya kerana kita tidak dapat melakukannya dengan baik”. Ini bukanlah kali pertama hasil CPI dikecam oleh sesetengah pihak di negara ini.

Melihat kepada latar belakang pengkritik tersebut, TI-M agak ragu-ragu mengapa mereka memilih untuk tidak menerima hakikat bahawa kedudukan Malaysia dalam CPI telah merosot. Tetapi orang yang sama ini akan cepat bersorak apabila kedudukan Malaysia dikatakan baik, seperti mana yang berlaku untuk laporan 2019 apabila Malaysia buat pertama kalinya berjaya meningkatkan skor daripada 47 kepada 53 dan meningkatkan kedudukannya daripada 61 kepada 51 daripada 180 buah negara di dunia.

Pada ketika itu, pihak-pihak tersebut menerima CPI dengan hati yang terbuka. Pastinya kematangan sesebuah negara diukur dengan kebolehan menerima dapatan yang pahit, berfikir dengan mendalam dan bersama-sama memikirkan bagaimana untuk kita memperbaiki kedudukan negara.

Persoalan penting yang kita perlu tanya adalah bagaimana pada tahun 2019 kita berjaya mencatat skor 53 daripada 47 pada tahun sebelumnya, dan kemudiannya jatuh selama dua tahun berturut-turut, sebagaimana yang diumumkan pada akhir Januari lalu.

Sama ada suka atau tidak, kejayaan Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI pada tahun 2019 merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan. Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai pengetahuan dan pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan perancangan dan dasar yang berkaitan dengan integriti, governans, dan antirasuah.

Mereka faham apa yang perlu dilakukan dan telah berjaya memulihkan imej negara dimata dunia. Ini adalah bukti empirikal yang tidak dapat disangkalkan oleh mana-mana pihak- iaitu Malaysia boleh menjadi antara negara terbaik dalam indeks persepsi rasuah ini.

Malangnya, ramai di antara kita hari ini kelihatan leka dan tidak meneruskan usaha konkrit untuk memerangi rasuah secara menyeluruh yang telah dimulakan pada 2018 melalui inisiatif yang terkandung dalam NACP. Negara ini perlu mengekalkan momentum yang berterusan dalam meningkatkan skor atau mata yang menjadi penentu kepada kedudukan negara dalam indeks berkenaan.

Tiada jalan singkat untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar bebas rasuah. Usaha untuk mencapai matlamat tersebut harus dilaksanakan dengan penuh istiqamah. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa CPI yang dihasilkan oleh TI, selain daripada mengukur 180 buah negara juga menggunakan sekurang-kurangnya 9 hingga 13 indeks lain.

Setiap negara yang diukur mempunyai data yang boleh dibandingkan antara satu sama lain. Tiga buah negara terbaik di dunia, Denmark, Finland dan New Zealand mencatatkan skor sebanyak 88, seterusnya meletakkan mereka di kedudukan teratas manakala Sudan Selatan berada di kedudukan tercorot dengan skor 11/100.

Skor sesebuah negara diberi berdasarkan beberapa tinjauan dan penilaian pakar, yang melihat kepada pelbagai faktor di dalam sesebuah negara termasuk aspek demokrasi, keterbukaan terhadap pelabur asing dan faktor ekonomi. Malaysia diyakini mampu menjadi lebih baik.

Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memahami bagaimana TI menghasilkan pengiraan mata dan bagaimana kerajaan boleh merangka strategi untuk memperoleh mata yang lebih baik. Sila rujuk penulisan Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff dalam kolum beliau Rintihan Rakyat dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 27 Januari 2022 yang memberi penjelasan yang baik dengan tajuk “CPI: Apa yang perlu kita tahu?”.

Oleh yang demikian, untuk Malaysia bangkit semula, setiap aspek atau faktor lain juga perlu dibaiki atau ditambah baik. Misalnya, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang memudahkan pelabur untuk datang dan menjalankan perniagaan serta menjadi negara yang lebih demokratik.

Ini bukanlah hanya usaha sesuatu pihak, sama ada pihak SPRM atau Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) semata-mata, malah melibatkan peranan, fungsi dan tanggungjawab setiap agensi dan kementerian serta dokongan semua rakyat.

Oleh: Dr. Muhammad Mohan