SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan terkejut apabila dimaklumkan sebanyak 269 balai raya dan dewan orang ramai di Selangor tidak diwartakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Hal itu dipersoalkan oleh Ahmad Mustain Othman (PKR-Sabak), apakah PBT di jajahan masing-masing tidak nampak kewujudan balai raya dan dewan orang ramai yang tidak diwartakan di kawasan mereka.
“Satu penemuan yang mengejutkan apabila sebanyak 269 balai raya dan dewan orang ramai di Selangor belum diwartakan. Puluhan tahun wujud balai raya dan dewan orang ramai yang begitu banyak, tetapi statusnya tidak diwartakan
“Saya nak tanya kepada Pejabat Tanah dan Daerah, apakah mereka tidak nampak wujudnya balai raya dan dewan orang ramai yang tidak diwartakan ini?” soalnya pada sesi perbahasan di sidang DUN Selangor di sini, petang ini.
Menurut Ahmad Mustain, amat memalukan bagi kerajaan negeri apabila orang luar datang ke kampung, melihat balai raya dan dewan orang ramai yang usang tidak terjaga.
Katanya, apa Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hendak menjawab apabila keadaan balai raya di kampung mereka seumpama ‘rumah hantu’.
“Saya bagi masa setahun kepada Pejabat Tanah dan Daerah supaya 269 balai raya dan dewan orang ramai ini dapat diwartakan dengan segera,” katanya.
Namun, Shaari Sungib (PH-Hulu Kelang) memberi pandangan berbeza dengan menyatakan kebanyakan balai raya yang tidak diwartakan itu telah dijadikan bilik gerakan parti politik tertentu.
“Pandangan saya lain, balai raya yang tidak diwartakan ini memang tidak boleh diiktiraf kerana ia sebelum ini telah dijadikan bilik gerakan parti-parti politik. Itu yang berlaku.
“Malah agak kelakar apabila saya tanya balai raya ini bolehkah dijadikan pejabat ADUN tetapi Ketua Pejabat Tanah dan Daerah tidak setuju kerana balai raya ini dikendalikan oleh MPKK.
“Oleh itu, saya cadangkan semua balai raya dan dewan orang ramai ini tidak boleh dijadikan bilik gerakan untuk parti politik, sebaliknya dijadikan tempat untuk aktiviti kebajikan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menjawab kemusykilan ADUN itu berkata, balai raya dan dewan orang ramai yang tidak diwartakan itu dalam proses pemutihan oleh kerajaan negeri.
Ujar beliau, sebelum tahun 2008, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang baru mengambil alih Selangor mendapati dapati ada beberapa bangunan kerajaan, dewan orang ramai dibina di tanah persendirian.
“Jadi, kita laksanakan proses pembersihan dahulu, barulah kita laksanakan proses pewartaan. Cadangan ADUN Sabak itu saya ambil perhatian, malah tidak berdepan dengan masalah untuk mewartakannya kerana pelan, aturan dan lokasinya sudah ada.
“Kita juga ambil kira ada dewan orang ramai dan balai raya yang tidak diwartakan itu tidak sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti kerana saiznya terlalu kecil,” katanya. – MalaysiaGazette