PUTRAJAYA – Bank Muamalat Malaysia Berbad (BMMB) menyasarkan nilai pembiayaan sehingga RM300 juta menerusi kerjasama yang dijalinkan bersama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) hari ini.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif bank berkenaan, Khairul Kamarudin berkata, melalui kerjasama tersebut pihaknya turut menawarkan margin pembiayaan istimewa sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah dalam kalangan penjawat awam.
“Di samping itu kos berkaitan seperti Takaful Gadaijanji (MRTT), yuran guaman dan Takaful Pemilik Rumah Jangka Panjang (LIHT) boleh dibiayaai melalui pembiayaan perumahan Bank Muamalat.
“Inisiatif in penting kerana masih ramai penjawat awam yang belum memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bank Muamalat dengan LPPSA.
Turut hadir Ketua Pegawai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Mohd Farid Nawawi.
Jelas beliau, kerjasama yang menjadikan kedua-dua pihak tersebut sebagai pemegang Gadaian Kedua, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap kakitangan sektor awam dapat memiliki kediaman sendiri.
“Melalui pembiayaan perumahan Gadaian Kedua ini, pihak bank akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang telah diluluskan oleh LPPSA,” katanya lagi.
Beliau berkata, antara yang layak untuk membuat permohonan pinjaman ini adalah kakitangan awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya satu tahun dan telah disahkan dalam jawatan.
“Kini, penjawat awam berkelayakan bersama pasangan atau anak mereka yang bukan penjawat awam boleh memiliki rumah idaman yang lebih bear dan selesa dengan mudah melalui pembiayaan perumahan “Gadaian Kedua” Bank Muamalat,” tambah beliau.
Justeru, Khairul berharap agar kerjasama kedua-dua pihak ini akan memudahkan urusan pembelian hartanah golongan kakitangan awam.
Sementara itu, Mohd Farid berkata, MoU yang dimeterai pada hari ini akan memastikan hasrat kerajaan agar penjawat awam memiliki rumah masing-masing dapat tercapai.
Terdahulu, MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi LPPSA, Zuwardi Zubir dan Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahumee Zainal Abiden dan disaksikan oleh Khairul dan Mohd Farid.- MalaysiaGazette