KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad berhubung Pemilihan 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang akan dipamerkan di laman web parti hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat semalam berpuas hati dengan pembentangan dari Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan Juru Audit Digital Antarabangsa pihak ketiga.
Katanya, jawatankuasa itu mengesahkan keputusan pemilihan 2025 di peringkat AJK Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang untuk kesemua 220 Cabang yang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.
“Keputusan muktamad untuk Pemilihan 2025 di peringkat cabang akan dipamerkan bermula pada 5 Mei 2025 di https://keputusan.keadilanrakyat.org/,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MPP turut dimaklumkan dan mengesahkan tarikh-tarikh penting di dalam garis masa persiapan menghadapi Kongres Tahunan untuk 2024 dan 2025 yang akan berlangsung pada 22, 23 dan 24 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bharu.
Dalam pada perkembangan lain, Fuziah memaklumkan Kongres Tahunan PKR pada kali ini akan menerima kehadiran 10,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal bagi memilih MPP manakala lebih dari 20,000 perwakilan pula akan mengundi untuk pemilihan Pimpinan Pusat secara atas talian.
Menurutnya, sistem perwakilan yang berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan juga dijangka menarik perhatian kerana calon ketua cabang yang kalah peringkat cabang layak menghantar perwakilan ke kongres.
Jelas beliau, mereka boleh menamakan senarai perwakilan untuk ke kongres yang mana jumlahnya adalah mengikut kadar peratus undi yang mereka terima pada pemilihan peringkat cabang tempoh hari.
“Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 sewaktu kongres kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, Fuziah berkata, oleh kerana persiapan untuk kongres memerlukan pengurusan yang teliti, MPP dimaklumkan satu Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan digerakkan oleh ibu pejabat dalam memastikan para perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan rapi ke kongres kelak.
Katanya, ibu pejabat PKR juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres tersebut bagi semua calon MPP bertemu dengan para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon kelak. – MalaysiaGazette
















