Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus mendesak siasatan dibuat terhadap hubungan antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low.

Dr. Mahathir mempersoalkan jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa beliau memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh  Datuk Seri Najib Razak.

“Jika ada hubungan maka conflict of interest berlaku. Keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low.

“Adalah penting siasatan dibuat berkenaan hubungan Apandi dengan Jho Low,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Dr. Mahathir terus mendesak Mohamed Apandi menjelaskan bagaimana beliau boleh menerima tawaran penyelesaian daripada Jho Low berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselewengkan.

Dr. Mahathir berkata, bekas Perguam Negara itu telah terlebih dahulu mendakwa dahulu tidak ada kesalahan yang dibuat oleh Najib dalam kes 1MDB sekaligus bermakna Jho Low juga tidak bersalah.

“Jikalau tidak bersalah apa sebabnya Jho Low bercadang bayar RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia. Cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah.

“Tetapi Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi. Kesanggupan Apandi menerima tawaran Jho Low tentulah kerana Apandi sekarang akui yang Jho Low bersalah,” kata Dr. Mahathir.

Nama Mohamed Apandi dikaitkan sebagai mewakili ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dalam rundingan untuk penyelesaian dengan kerajaan berhubung isu 1MDB.

Ia susulan laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, mendakwa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun Mohamed Apandi kemudiannya menegaskan beliau bukan mewakili Jho Low.

Sebaliknya menurut Mohamed Apandi, beliau telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu.

“Saya kemudian mengatur beberapa siri perjumpaan di mana wakil daripada Kobre & Kim datang ke Malaysia. Pada perjumpaan di AGC itu, kerajaan diwakili peguam negara dan pegawainya serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tujuan perjumpaan itu adalah bagi berbincang untuk membawa balik dana yang didakwa diseleweng Jho Low daripada 1MDB.

“Selepas perjumpaan terbabit di mana pada waktu itu dilihat positif, ia kemudian dibatalkan oleh AGC (Pejabat Peguam Negara) secara tiba-tiba atas alasan yang hanya diketahui mereka,” katanya.

Sebelum itu, AGC dalam kenyataan ringkas, mengesahkan bahawa Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan berhubung kes berkenaan namun ditolak oleh pihak kerajaan.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.- MalaysiaGazette