Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas melancarkan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Konflik dalam kalangan kariah di sebahagian masjid di Selangor berpunca daripada peruntukan yang dimiliki.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, masjid yang berhadapan dengan konflik antara yang dijadikan sebagai masjid pengurusan.

“Masjid ini selalunya bila tidak ada duit, orang tidak mahu, bila ada duit banyak jadi berebut dan bertelingkah akhirnya pejabat agama Islam negeri terpaksa campur tangan untuk mendamaikan dan meredakan keadaan kerana timbul fitnah-fitnah atau cerita tidak sedap yang tidak sepatutnya tapi ini bukan semua ia berlaku.

“Kalau berlaku, aduan diterima dan disiasat untuk keputusan sama ada masjid ini dijadikan sebagai masjid pengurusan atau ditadbir oleh kariah,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu,  Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan-PH) menerusi meminta penjelasan mengenai dakwaan pemilihan masjid pengurusan di negeri berkenaan hanya dalam kalangan masjid yang mempunyai dana yang banyak.

Sebelum itu, Zawawi berkata, tidak ada kriteria khusus yang dipertimbangkan bagi penerapan masjid pengurusan.

Sebaliknya ADUN Sungai Kandis itu berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhak untuk membuat keputusan berkenaan untuk menaik taraf sesebuah masjid.

“Oleh kerana itu, di peringkat pelaksanaannya terdapat beberapa kategori masjid pengurusan iaitu semua Masjid Diraja Negeri Selangor, semua masjid daerah, sebahagian masjid baharu yang baru siap dibina, sebahagian masjid kariah yang menghadapi masalah serta konflik dengan ahli kariah,” jelas beliau.

Selain itu, tambahnya, tidak ada tempoh masa yang ditetapkan bagi sesebuah masjid dijadikan sebagai masjid pengurusan.

“Kalau ada keperluan diserahkan kembali kepada pihak kariah pihak jabatan agama negeri akan pertimbangkan, sekarang kerajaan negeri mahu menjurus kepads pengurusan majlis yang lebih kemas, demi menjadikan masjid-masjid di negeri ini diurus oleh pengurusan yang baik sepenuh masa,” katanya.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 41 buah masjid yang berstatus masjid pengurusan. – MalaysiaGazette